Pages

Friday, June 29, 2012

Sudah Tamat Belajar


Assalamualaikum..

Alhamdullilah bersua kita kembali. Walaupun lama-lama sekali menjengah ke sini tapi tak sangka juga ada juga followers. Walaupun sikit ja tapi ok lah tu sekurang2nya adaa. Kau ada? Hehe ayat tak bleh blah kan. So apa pula topik kali ini. Sebenarnya ada dua cerita penulis nak kongsikan di sini. Satu ialah business trip penulis ke Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini (13-16/6/2012) dan satu lagi ialah cerita penulis yang baru sahaja menamatkan pengajian master penulis juga baru-baru ini iaitu 25/6/2012. So nak mulakan yang mana satu? Memandangkan penulisan di blog lebih ceria dan menceritakan 1001 cerita jika disertai dengan gambar2 dan juga memandangkan penulis sampai kini tak sempat membelek lagi gambar semasa trip ke Vietnam tempoh hari (di FB pun tak upload lagi) so penulis memilih untuk menceritakan tentang pengajian penulis yang dah tamat itu dan apa perancangan penulis selepas ini. Boleh kan? hehe



Sebetulnya pengajian penulis boleh tamat seawal 30 Mei lagi. Tapi penulis disertai seangkatan rakan seperjuangan terpaksa memilih medium 'in complete' iaitu keadaan di mana pihak kolej melanjutkan tarikh penghantaran master projek itu selama sebulan lagi iaitu sehingga ke 25 Jun (tak cukup sebulan pun kan? isk3). Itu adalah antara ketetapan dan peraturan sedia ada yang boleh dimanfaatkan oleh kita. Kenapa penulis lanjutkan tempoh penghantaran? Jangan ceritalah kalau bukan kerana kekangan masa, kesibukan dengan bisnes, analisis data reponden yang lambat diterima, tak cekap menggunakan SPSS (Statistik Package for Social Science) dan paling ketara - Malas hehe.

Penulisan akademik sangatlah berbeza dengan penulisan santai seperti apa yang kita tulis di FB atau Blog. Setiap penulisan harus dipernampakkan sebagai akademik beserta dengan sumber2nya. Sementelah lagi kajian penulis ialah kajian kuantitatif iaitu melibatkan analisis data yang melibatkan key in data dan dianalis secara kuantitatif - pendek kata melibatkan angka2 matematik seperti min, mod, median, frekuensi. Arghhh satu perkara yang penulis sangat trauma dari dulu iaitu - matematik. Maybe penulis ialah orang yang lebih menggunakan otak kanan (pembacaan) berbanding mereka yang menggunakan otak kiri (pengiraan). Isteri penulis ialah orang yang menggunakan otak kiri. Tiap kali dia cuba guna otak kanan mulalah dia rasa nak terlena lah, nak pitam lah haha. Tapi kira ok lah kan bak kata Dato Dr Fadzilah Kamsah - saling melengkapi.

Penulis lebih prefer kajian kualitatif iaitu kajian yang 'kurang' melibatkan angka2. Lebih kepada huraian deskriptif hasil dari bacaan, analisis dokumen, temubual, pemerhatian dan juga soal selidik. Hasrat penulis ini tidak tercapai dek kerana supervisor penulis ketika itu ialah pakar SPSS dan ada menerbitkan buku beliau sendiri mengenai kaedah kajian kuantitatif. Awal lagi beliau katakan kepada penulis - buat kajian kualitatif macam tak buat kajian lah. Hehe terkedu penulis dibuatnya tanpa mampu berkata apa2. So diteruskan juga lah walaupun terpaksa sehingga dua semester lamanya menyiapkan master projek itu. Bukan sebab supervisor kerana beliau sentiasa guide penulis. Ia adalah kerana sebab penulis sendiri sebenarnya. Di akhirnya penulis boleh la juga menguasai kaedah kuantitatif itu dan rasa sedikit seronok pun ada. Tapi diberi pilihan penulis tetap mahukan kaedah kualitatif juga hehe.



Perancangan penulis seterusnya? Tanpa menoleh ke belakang lagi penulis dalam proses menyediakan proposal PHD. Wahh. Semestinya penulis akan memilih supervisor yang mahukan atau boleh kompromi kaedah kualitatif. Awal lagi penulis menyediakan tajuk yang meng'valid'kan kaedah yang penulis mahukan itu. Bidang kajian PHD penulis? Semestinya Sains Politik. Senarai Profesor Politik UUM pun penulis dah senaraikan sebagai supervisor. Berkenaan tajuk spesifik rasanya penulis akan ceritakan nanti dalam ruangan yang lain insyaallah.

So kini penulis hanya menunggu result keseluruhan release yang dijangka paling lewat pun 12/7 ini. Sementara itu proposal PHD harus disediakan kerana hasrat penulis ialah nak terus submit PHD application sejurus result keluar nanti. Proposal pula bukan sesuatu yang agak mudah. Selain supervisor yang mana nak dipilih kita harus menyediakan cadangan kajian (proposal) iaitu kenapa kita nak pilih tajuk itu, apa masalah yang nak dicari dan diselesaikan dari kajian itu, adakah kajian kita adalah kajian yang baru dan belum pernah dibuat, apa sumbangan kajian kita. Semua itu perlu kita sediakan bersama sokongan2 dari kajian berkaitan terdahulu dan kaedah metodologi kajian kita nak buat nanti. Di hantar beserta form PHD. Kalau dah diterima nanti proposal kita itu perlu dipertahankan sekali lagi dalam sesi defend proposal di hadapan barisan profesor2 panel yang lain pula iaitu dalam jangka masa setahun pengajian PHD kita.

Selain itu sumber pembiayaan pengajian PHD perlu juga dicari ketika ini. Kira2 hampir RM20,000 juga kosnya. Pengajian master penulis pula hampir RM10,000 yag penulis biayai melalui potongan KWSP penulis. Sengaja malas mahu pinjam PTPTN lagi walaupun penulis ada juga apply dah dah diluluskan pun RM16,000. Hutang PTPTN dengree pun tak habis bayar lagi hehe. Orang selalu berkata "tak bekerja lagi dah tanggung hutang" Ini sebenarnya pelaburan terbesar dalam hidup yang tak terdpat dalam mana2 pelaburan seumpama. Dengan degree itu penulis dapat pekerjaan sebagai pegawai bank (Bank Rakyat). Hasil dari caruman majikan kepada KWSP di samping bonus lumayan bank ketika itu simpanan KWSP penulis cukup untuk membiayai pengajian master penulis. Dan jumlah itu juga cukup untuk 4 semester seterusnya pengajian PHD penulis nanti. Kerana itu penulis memikirkan alternatif pembiayaan PHD penulis nanti sebagai back up.

Sebenarnya di Malaysia kita perlu bersyukur kerana ada pelbagai pilihan pembiayaan dan tajaan bagi pengajian tinggi. Kementerian Pengajian Tinggi under pakej MyPhd ada menyediakan tajaan (tak perlu bayar balik beb) bagi pelajar2 post graduate (masa buat master dulu tak ada lagi tajaan ini). Kelayakan terbuka kepada semua yang memohon. Ada juga bidang2 tertentu disenaraikan tapi dengarnya ketika ini kerana kuota tak penuh lagi apa saja bidang boleh memohon dan hampir kesemua yang memohon diluluskan. Jumlahnya agak lumayan. Selain daripada pembiayaan keseluruhan yuran, pembiyaan juga diberi kepada elaun bantuan jurnal, tesis dan viva. Dan apa yang lebih menakjubkan pelajar2 juga diberi elaun sara hidup (duit poket) RM2300 sebulan! Menarik kan? Terima kasih kerajaan Malaysia.

Selain itu PTPTN juga menyediakan pinjaman pelajaran (PHD) RM26,000 setahun, Kerajaan Negeri Kedah juga ada menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar anak negeri sebanyak RM8000 setahun. Juga pelbagai lagi tajaan dari badan2 korporat. Pendek kata tepuk dada tanya selera kan?

Konvokesyen master 6/10 ni. Tapi tak penah excited sangat. Excited lagi nak tunggu result akhir ni keluar dan apply PHD hehe.

 Ok sehingga berjumpa lagi ya..







Friday, April 6, 2012

Master to PhD


Salam kembali..

Kali ini penulis hendak membicarakan tentang pengajian penulis. Ketika ini penulis sedang berada di semester akhir pengajian sarjana di UUM. Tengah siapkan disertasi (projek sarjana). Paper semua dah selesai. Sebenarnya target penulis hendak siapkan master dalam tempoh setahun ja sesudah resign dari Bank Rakyat tu. Rupanya benarlah yang dikatakan kita hanya mampu merancang. Sedar tak sedar penulis mengambil masa hampir 2 tahun juga untuk siapkan. Itupun nasib ambil mode coursework (fulltime). Kalau ambil mode full research rasanya sampai sekarang tak habis lagi. Ada member penulis yang menyiapkan master by researchnya hampir 4 tahun. Pengajian master penulis mengalami beberapa cabaran di mana cabaran terbesarnya ialah - malas. Penulis extend semester sekali (semasa pindah dari Penang balik ke Kedah). Dan sekali lagi extend disertasi (projek sarjana) dari semester lepas ke semester ini. So kini penulis berada di semester 5 di mana diikutkan target awal penulis dapat siapkan dalam 3 semester sahaja.

So kali ini penulis dah nekad betul-betul nak siapkan disertasi ini dalam semester ini juga yang dijangka tamat pada Jun ini. Jika tidak segala perancangan penulis semasa berhenti dari Bank Rakyat itu akan tersasar iaitu get master sebelum umur 30 dan PhD sebelum umur 35. Intake PhD pula bulan 9 ni. Kalau tak siap juga master semester ini kiranya makin tersasarlah 'jadual hidup'. Itu belum dikira proposal PhD lagi yang perlu disubmit semasa application. Nak buat proposal pun lagi satu hal..

Penulis berminat dengan bidang sains politik. Tapi bagi tujuan mendapatkan pembiayaan Kementerian Pengajian Tinggi under MyPhD memerlukan bidang yang disenaraikan under NKRA. Jika dilihat dalam listing bidang yang paling hampir boleh dikaitkan ialah Sosiologi. Kena kaitkan Sosiologi dan Politik. Ini memerlukan perbincangan teliti dengan supervisor. Pernah seorang pensyarah mencadangkan kepada penulis kajian media politik kerana bidang itu masih kekurangan pensyarah di universiti. So bolehlah nak kaitkan media sosial (FB,Blog,Twitter dll) dalam membentuk sosiologi politik di Malaysia dan skop kajian perlu difokuskan (dikecilkan) lagi agar findings nanti menjadi jelas dan boleh diuji. Itulah apa yang penulis nampak sekarang. Bercakap mengenai MyPhD ni ia berupa biasiswa dari kerajaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi yang menyasarkan 60,000 pemegang PhD. Why not kita ambil peluang ini kan. Yuran ditanggung. Elaun bulanan RM2300. Di samping elaun bantuan jurnal dan tesis rm5000 setiap satu. Wah lumayan tu. Kalau kerja sekarang gaji bawah RM2300 harus memikirkan peluang ini kan?hehe

Ok mari kita teruskan dengan apa yang jadi kalau dah ada PhD ni. Selain mentauliahkan kita dengan gelaran Dr. (Dr. Ahmad Rushdi ewahh) iaitu gelaran doktor falsafah yang diiktiraf di seluruh dunia, kerajaan juga menawarkan skim perjawatan yang menarik jika bertugas sebagai pensyarah di IPTA. Pemegang PhD boleh terus ke jawatan pensyarah penuh gred 51 (bagi UUM) di mana gaji basic sahaja hampir RM5200 belum dicampur dengan elaun2 yang lain. Tentang elaun tak pasti sangat tapi apa yang pasti elaun perumahan bagi permulaan perkhidmatan adalah yang tertinggi antara semua perkhidmatan kerajaan iaitu rm700. Kalau perkhidmatan lain seperti Polis (jawatan lain tak pasti) ia menjanjikan gred gaji 7 tahun ke hadapan pangkat Inspektor dalam lingkungan basic RM2700. PTD juga begitu cuma laluan naik gred bagi PTD adalah yang terpantas. Classmate penulis seorang PTD servis 7 tahun dah gred 48. 3 tahun sekali naik gred. Kalau cikgu perlu hampir 10 tahun nak naik ke gred 44 (terkini 8 tahun). Dan kalau ada master or PhD tidak mendapat apa-apa imbuhan gaji mungkin sekadar peluang naik pangkat yang agak cerah sikit ja. Sebab itu penulis optimis untuk membuat PhD sahaja secara fulltime lepas ini apabila memikirkan laluan terpantas itu.

Di samping itu penulis juga bolehh teruskan dengan perniagaan yang penulis sedang usahakan kini. Tentang perniagaan penulis ni ada banyak cerita onak duri pahit manisnya. Insyaallah jika punyai waktu penulis akan membicarakannya di ruang yang lain ya. Hingga saat itu penulis nak under diri dulu. Mahu ke butik penulis nak tengok apa dah jadi hehe..

Friday, February 17, 2012

Pena Dari Jelapang

Assalammualaikum..
Fuh blog ini baru disapu sawangnya di era baru tahun 2012. Serentak dengan itu blog title nya juga diubah kepada "Pena Dari Jelapang". Tetiba rasa nak tukar title dalam mengambarkan maksud sebenar penyampaian blog ini. Sebelumnya ialah "Ini Blog Aku". So penulis blog sentiasa membahasakan dirinya "Aku" ketika itu. Kali ini penulis mahu membahasakan dirinya "Penulis" agar motivasi diri untuk menjadi penulis suatu hari nanti akan dapat direalisasikan. Insyaallah. Berkenaan pemilihan nama "Pena Dari Jelapang" itu ialah pena lebih bermaksud penulisan dan jelapang pula ialah jelapang padi kerana penulis memang anak jati negeri Kedah yang terkenal dengan jolokan negeri jelapang padi. Harapan agar blog ini dapat merealisasikan maksud penulis. Seperti biasa blog ini lebih membicarakan pandangan penulis mengenai isu semasa yang berlaku di sekeliling penulis. Cuma sesekali diselitkan juga lah apa aktiviti penulis. Itupun sekadar penyampaian hasrat hati bukannya luahan emosional hati penulis ok hehe.


Berkenaan gambar di atas bukan bertujuan bikin gempak pun. Saja ja terlintas nak letak gambar itu. Ye lah kan mat saleh sedang sibuk mempersiapkan minda kita semua yang 2012 ini tahun tragedi bagi kita semua. Sampaikan sebuah filem khas mengenai 2012 telah diadaptasikan. Diakuilah filem itu memang best bangat. Tapi rasanya rata-rata umat Islam yang masih teguh imannya tidak akan semudah itu mempercayainya bukan. Anda bagaimana? Kita dididik semenjak kecil mempercayai yang hari kiamat itu wujud. Cuma kita tidaklah ditanam dalam minda agar takut sampai tak boleh buat apa-apa dek kerana hari kiamat itu. Ustaz Don pun pernah mengatakan jika diketahui kiamat itu berlaku keesokkan hari dan jika ada benih di tangan kita makan tanam lah dahulu benih itu.


Inilah wajah Ustaz Don Danial. Kacak kan? Boleh dikatakan seangkatan dengan Ustaz yang digelar orang Ustaz Youtube paling famous di Malaysia iaitu Ustaz Azhar Idrus (UAI)


Secara peribadinya penulis memang berminat dengan kedua-dua ustaz ini tambah-tambah Ustaz Azhar Idrus lah. Dengan loghat Terengganu pekatnya disamping sifat kelakarnya tidak dinafikan dia adalah ustaz yang paling glamour setakat ini terutama di kalangan generasi muda di Malaysia.

Penulisan kali ini sebenarnya adalah sesi pembukaan bagi tahun ini so gayanya adalah santai dengan menyentuh beberapa isu secara ringan sahaja. Insyaallah penulis akan cuba aktif lagi menulis di sini dengan kupasan isu-isu semasa tanah air. Kebetulan pula ketika ini penulis sedang dalam peringkat akhir menyiapkan tesis sarjana so memang kena berlatih menulis lah. Penulisan akademik sangat lah berbeza dengan penulisan santai sebegini. Hati ini memang cuba 'dikeraskan' untuk membiasakan dengan penulisan sebegitu. Cita-cita besar nak sambung Phd pada sesi September 2012 ini insyaallah semoga dipermudahkan..


Sekian dulu di sini. Insyaallah di lain masa dan dengan keazaman penulis akan cuba menulis seberapa kerap lagi. Penulisan adalah proses pemikiran dan penyusunan idea secara sistematik. Dengan penulisanlah orang akan mengingati kita. Bak kata Winston Churchill - "Sejarah akan mencintai kita sekiranya kita menulis"


Sehingga berjumpa lagi..

Sunday, November 13, 2011

Penulisan


Wah rupanya sudah hampir setahun aku tak menulis di sini. Walaupun aku suka membaca blog tetapi untuk blog sendiri amat jarang ditulis. Aku dapati lebih aktif menulis di facebook. Entahlah mungkin di facebook lebih santai dan rileks bagi tulisan pendek yang tidak memerlukan tumpuan mendalam terhadap penulisan sesuatu isu yang berat. So kali ini aku nak bercerita mengenai "penulisan".

Bercakap mengenai penulisan harus diakui bahawa tidak semua orang mampu menulis. Penulisan yang aku maksudkan ialah menulis sebuah idea dan fakta mengenai sesuatu isu. Dan kebiasaannya mereka yang konsisten menulis dengan kerap adalah mereka yang rajin membaca. Tidak kiralah apa sahaja bahan bacaan mereka misalnya majalah, surat khabar, novel dan sebagainya. Sebab sesuatu isu yang mahu ditulis memerlukan kita 'master' mengenai topik yang diutarakan.

Di facebook misalnya kita dapati terdapat beberapa golongan yang kerap mengutarakan beberapa isu dan mengolah dengan baik. Terdapat juga golongan yang hanya komen sahaja dan tidak pernah publish apa-apa di wall nya. Terdapat golongan yang hanya menceritakan masalah peribadinya sahaja. Golongan yang hanya memaki hamun sahaja setiap kali update status. Golongan yang suka menceritakan apa sahaja berlaku di sekelilingnya misalnya air yang dioder lambat sampai akan diupdate statusnya. Siapapun golongan ini bagi aku secara peribadi akan hormatinya tambahan pula jika konsep "ini wall aku so aku punya suka lah" digunapakai. Just read it or leave it..


Ini belum bercerita mengenai penulisan politik di page-page politik. Naik ngeri dibuatnya melihatkan komentar-komentar ganas di situ. Memandangkan aku juga sangat meminati politik so aku melibatkan diri juga lah. Diakui aku mempunyai akaun facebook berasingan bagi tujuan politik. Terdapat keadaan tertentu di mana setiap pandangan kita perlu diprivasikan

Aku sebelum ini beberapa kali bercita-cita menjadi penulis. Sampaikan dah membeli beberapa buku mengenai langkah-langkah menjadi seorang penulis. Tetapi ia seperti pasang surut jadinya. Aku lebih berminat membaca penulisan pihak lain. Sesekali adalah menulis beberapa isu dan juga meninggalkan komen kepada pihak lain. Aku belum mempunyai semangat dan kekuatan untuk melangkah ke satu era penulisan yang lebih serius.

Hmm..sekian dulu buat ketika ini. Insyaallah berjumpa lagi.

Thursday, September 2, 2010

Sajak "Melayu" oleh Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua´alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

"Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

(Usman Awang)

Tuesday, August 31, 2010

Merdekakah kita?

Hari ini tanggal 31 Ogos 2010 kita semua menyambut hari kemerdekaan yang ke 53 buat sekelian kalinya..sesungguhnya perjuangan menuntut kemerdekaan bukan sedikit harga yang perlu dibayar. Terima kasih kepada pemimpin-pemimpin kita terdahulu yang berkorban jiwa dan raga demi sebuah kemerdekaan. Seringkali dari tahun ke tahun kita akan mendengar ungkapan rakyat Malaysia terutamanya berkenaan generasi muda sekarang yang semakin tidak menghayati erti sebuah kemerdekaan. Salah siapakah?

Mereka yang mengeluarkan ungkapan itu cukup merdekakah dia? Apa yang dia faham dengan merdeka? Generasi muda tidak memahami erti merdeka kerana sepatutnya mereka tidak akan faham pun. Mereka juga boleh diibaratkan sebagai kain yang putih untuk dicorakkan. Peranan mereka yang sepatutnya mencorakkan dinafikan. Di sekeliling kita boleh anda nampak apa yang boleh dikatakan sebagai bulan menyambut kemerdekaan? Berapa kerat sangat rancangan berciri patriotik dimainkan juga melalui radio-radio informasi tentang kemerdekaan boleh dikira dengan jari. Ia semakin parah dari tahun ke tahun. Semalam semasa aku dalam perjalanan dari Alor Star ke Pulau Pinang di sana sini penuh dengan golongan mat rempit/mat kereta di sana sini dengan bendera yang diikat ke badan dan kenderaan. Sekurang-kurangnya mereka ini cuba menyambut kemerdekaan dengan cara yang mereka faham. Merempit dengan bendera mungkin itu perkara yang bermain di fikiran mereka sebagai cara menyambut merdeka. Seterusnya muncul lah golongan yang mengatakan ahh budak-budak muda sekarang semakin tidak tahu apa itu merdeka. Apa pula yang golongan itu buat?

Usah bicara peranan parti2 politik. Seorang prof politik di sebuah IPTA tempatan menyatakan parti2 politik sekarang sedang sibuk mengukuhkan kerusi empuk masing2 juga mempertahankannya dan perjuangan sebenar menjadi agenda no 2. Inilah harga yang rakyat terpaksa tanggung kini.

Hendakkan sesuatu maka kita perlu lepaskan sesuatu itulah janji penjajah British kepada kita semasa hendak melepaskan Tanah Melayu menjadi sebuah negara berdaulat. Ya kontrak sosial demi kepentingan ekonomi koloni harus diutamakan jika kita mahu merdeka maka dari situ lah kita harus menerima kontrak sosial sebagai pra syaratnya. Isu kontrak sosial hingga kini menjadi api dalam sekam apabila timbulnya golongan yang cuba menjadi hero di kalangan kawanannya dengan memainkan isu yang menjadi sensitivi. Juga tindak balas provokasi oleh satu pihak yang lain semua itu menjadi lahar yang bakal meledak sekiranya dibiarkan. Puak Serb serta Bosnia yang dahulunya berjiran aman damai boleh berbunuhan keesokkan paginya apabila api perkauman dan agama dimainkan. Situasi ketika itu jiran sebelah rumah berbangsa Serb akan datang ke rumah jiran Bosnianya bukan untuk minum teh seperti kebiasaan tetapi untuk membunuh! Kita semua mahu begitu?

Kita semua melaungkan walaupun kita telah lama merdeka tapi kita masih dijajah secara minda. Anda fikir dari tahun 1511 bermulanya pendaratan kapal perang Alfonso D’ Albuquerque (ada sumber menceritakan Alfonso ini akhirnya dibunuh oleh orang Melayu Melaka dan mayatnya dihantar pulang ke Portugis oleh pendekar2 Melayu) pada 1 Julai 1511 di bumi Melaka sehinggalah kemerdekaan sepenuhnya daripada British pada 31 Ogos 1957 selama beratus-ratus tahun kita dijajah secara fizikal tidak minda? Antara ciri-ciri penjajahan barat ke sesebuah negara adalah menghapuskan fakta sejarah dan juga jatidiri bangsa tersebut bagi mengukuhkan kedudukan mereka. Anda nampak apa yang Amerika buat ke atas muzium dan juga monumen sejarah semasa menjarah Iraq? Sedikit sebanyak juga sejarah bangsa kita telah diolah oleh pihak penjajah demi kepentingan mereka. Sumber rujukan sejarah teks sekolah semata-mata adalah tidak memadai. Harus ada pemikiran tertentu dan kepelbagaian sumber untuk mendefinasikan sejarah dalam erti kata yang sebenar.

Sekarang memang tidak dapat dinafikan kita mengalami penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan minda. Sebagai contoh anda percaya 'war anti terrorist'? Jika ya maka anda juga sebenarnya telah dijajah secara minda. War anti terrorist adalah satu teori pemikiran yang dicipta Yahudi selepas era perang dingin demi menghalalkan penaklukan/penjajahan moden mereka ke atas negara-negara tertentu (negara2 benua Arab biasanya yang kaya dengan hasil bumi). Semua ini adalah sebahagian daripada ciri 24 protokol Yahudi bagi menakluki dunia. Agenda Yahudi menakluk dunia ini aku berminat untuk membicarakan di entri yang akan diterbitkan kelak.

Kini terdapatnya golongan2 yang cuba memanipulasikan sejarah bangsa kita seperti contoh menyatakan Hang Tuah itu adalah mitos. Sedihnya ada juga anak bangsa kita yang telah termakan dengan mitos tersebut. Antara lain mitos tersebut menyatakan Hang Tuah itu adalah seorang Cina berasal dari Tanah Besar China. Adakah wujud nama pangkal 'hang' bagi seorang Cina Malaysia atau dari Tanah Besar semenjak dahulu, kini dan selamanya? Tidak bukan?

Di sini aku ingin menegaskan peri penting kefahaman sejarah dititkberatkan demi mewujudkan jatidiri bangsa yang sebenar. Apabila kita menghayati sejarah kita akan mengenal jatidiri kita yang sebenar dan secara tak langsung kita akan cuba mempertahankannya apabila cuba diganggu gugat. Sejarah adalah warisan. Sejarah juga adalah sumber kuasa. Sesuatu bangsa itu akan pupus tidak bersisa sekiranya mengabaikan sejarah bangsanya. Bagaimana? Perlahan-lahan dia akan meninggalkan budaya, bahasa dan jatidiri bangsanya kerana terlalu memandang rendah sejarah bangsanya dan mengkagumi sejarah orang lain, bahasa dan budaya mereka. Nama bangsanya hanya akan tersisa di buku-buku sejarah dan pameran muzium. Hilangnya kedaulatan sesuatu bangsa adalah sejauh mana bangsa itu kental jatidiri dan semangat untuk terus maju. Dan semua itu...bermula dari sejarah sebagai sumber kuasa yang tidak terkalahkan.

Sejarah bukanlah sekadar bacaan hikayat dan nota-nota untuk lulus peperiksaan. SEJARAH ADALAH SUMBER KEKUATAN DAN ROH KEBANGKITAN. Satu cara untuk meruntuhkan estim diri dan jatidiri sesuatu bangsa ialah dengan menghapus, memperkosa dan merompak sejarah bangsanya. Bangsa yang diperkosa, dihapus atau dirompak sejarahnya...perlahan-lahan akan mengalami perasaan rendah diri dan akhirnya pupus dari peta sejarah dunia. Berkunjunglah ke http://mistisfiles.blogspot.com/..sejarah ketamadunan Melayu. Anda kelak akan berbangga dengan ketamadunan anda sendiri.

Sekian Selamat Menyambut Kemerdekaan yang ke 53..ayuh kita membakar semangat anak bangsa…betapa hulubalang Melayu sedari dulu tidak pernah membuang baka…yang patah, kan tumbuh berganti. Justeru untuk membina Negara Bangsa yang berjaya…marilah kita kuatkan perpaduan, tingkatkan jatidiri serta rasa yakin dan boleh! Jangan sesekali kita lupa betapa senangnya hidup kita hari ini adalah dari darah, airmata dan keringat pahlawan kita…samada yang zahir mahupun yang tak didendang. Sesungguhnya bumi Malaysia adalah bumi BERDAULAT!

Thursday, August 26, 2010

Ganyang Malingsia??

Isu yg agak menarik di bulan kemerdekaan ini dan melihat sejauh mana patriotiknya kita menghadapi situasi tegang sebegini. Baru sahaja reda keadaan apa yg digelar 'sweeping' rakyat Malaysia menggunakan buluh runcing sebagai simbolik kini telah timbul (atau dihangatkan) kembali kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) yang melakukan provokasi melampau kononnya untuk menghalau keluar semua rakyat Malaysia di bumi Indonesia. Isu buluh runcing sebelum ini diredakan melalui saluran diplomatik dan dengarnya juga oleh tekanan pelabur-pelabur Malaysia kepada pihak media Indonesia. Media Indonesia diketahui sangat prejudis dengan apa-apa isu berkaitan Malaysia dan ia adalah antara punca isu ini menjadi 'panas'.

Isu terbaru ini melibatkan sekumpulan aktivis BENDERA yang berhimpun dan berdemontrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang menyatakan bantahan mereka terhadap sikap kerajaan Indonesia yang kononnya sangat berlembut dengan kerajaan Malaysia mengenai isu penahanan pegawai perikanan mereka oleh pihak polis marin Malaysia yang kononnya berlaku di perairan mereka. Isu itu telah diselesaikan melalui pembebasan kesemua mereka yang ditahan. Inilah yang menimbulkan kemarahan aktivis tersebut yang dipercayai didalangi oleh pihak pembangkang negara itu yang cuba menimbulkan suasana tegang antara kedua pihak. Kemuncak demontrasi ini adalah melalui pembakaran bendera Malaysia dan rempuhan untuk memasuki kedutaan Malaysia melemparkan 5 bungkusan najis manusia ke dalamnya. Ini berjaya dihalangi oleh pihak polis republik tersebut dan hanya sebungkus berjaya dilempar masuk dan lainnya diletakkan di atas bendera Malaysia lalu dipijak pula. Beberapa harta benda (spt plet nama) kedutaan Malaysia telah rosak yang menyebabkan Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada pihak polis republik dan kedutaan Indonesia yang dianggap tidak melindungi harta benda kedutaan asing selaras dengan Perjanjian Geneva.

Isu-isu sebegini sebenarnya adalah rentetan beberapa isu yang sekian lama menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat Indonesia kepada Malaysia antaranya isu amah (Nirmala Bonat), curi budaya (lagu negaraku, batik, lagu rasa sayang), isu kepulauan seperti Sipadan, Ambalat, Spratly. Sekian lama juga bangsa Indonesia sebenarnya menganggap mereka adalah 'abang' kepada Malaysia di dalam rumpun Melayu ini dan kemajuan Malaysia sedikit sebanyak telah menimbulkan kecemburuan kepada mereka.

Isu kepulaun ini juga sebenarnya telah beberapa kali menyebabkan skuandron udara TUDM dan armada TLDM telah diaturgerak ke beberapa bahagian di kepulauan Sabah oleh kerana tindakan provokasi Angkatan Laut Indonesia dan kejadian tembak menembak di laut memang sebenarnya berlaku cuma tidak dihebahkan dalam media massa demi untuk tidak menimbulkan suasana tidak tenteram antara dua negara berjiran (*sumber - militaryofmalaysia.blogspot.com)

Sepanjang malam ini juga aku telah menghabiskan masa melayari beberapa web dan blog mengenai isu ini dan menulis rumusannya di sini. Cuba lihat atau taip ja 'anti malaysia' di facebook dan anda akan menjumpai dan menyedari bahawa segelintir rakyat Indonesia telah secara konsisten melakukan provokasi melampau dengan menghina kedaulatan kita, para pemimpin kita serta sultan-sultan dan YDP Agong sejak sekian lama.Berbagai cacian dan kata nista dilempar beserta gambar-gambar menghina diletakkan.

Aku juga pernah menjumpai blog mereka yang memaparkan analisis ketenteraan penaklukan Indonesia ke atas Malaysia. Antara isi kandungan yang aku ingat (dah hampir setahun baca blog itu) mereka telah membayangkan penaklukan Malaysia melalui Sabah dan seterusnya ke semenanjung Malaysia melalui pendaratan anggota TNI (Tentera Nasional Indonesia) di Kuala Lumpur. Ketika itu menurut blog tersebut orang-orang Melayu Kuala Lumpur akan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tetapi dalam masa yang sama mereka juga khuatir dengan tindak balas Malaysia melalui kekuatan armada laut membalas dengan meriam ke Kota Jakarta keraana mereka juga menyedari kekuatan maritim Malaysia antara yang yang terkuat selepas Singapura bagi rantau Asia Tenggara ini. Mereka sangatlah bermegah dengan kekuatan darat mereka (mungkin sebab mereka ramai dari segi jumlah keanggotaan) tetapi tidak dari segi teknologi ketenteraan sebenarnya. Layarilah blog militaryofmalaysia dan anda akan bertemu dengan artikel terbaru kejadian pada akhir April 2010 insiden di kepulaun Spratly melibatkan kerajaan China dan Malaysia - sumber *The Southern Daily (akhbar rasmi komunis China dalam bahasa Cina). Tidak minta anda percaya sepenuhnya tetapi agak menarik untuk dihayati bukan? Secara logiknya pada zaman sekarang kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada sumber bacaan dalam negara sahaja. Tidak juga kepada satu sumber tertentu sahaja. Kita perlu pelbagaikan sumber, tambahan pula dengan kewujudan pelbagai media alternatif kini dan barulah kita boleh berfikir secara kritis dan logik bukan?

Berbalik kepada isu 'Ganyang Malaysia' ini secara 'teori konspirasi'nya aku andaikan mereka akan melanggar juga kedaulatan Malaysia. Ini dapat dilihat dari apa yang berlaku semasa Konspirasi Indonesia menentang penubuhan Malaysia dahulu di mana anggota Kopassus mereka telah mendarat secara senyap-senyap di beberapa pantai di Selangor. Ini adalah disebabkan anggota tersebut mendapat arahan 'khusus' dan diberitakan juga mereka akan mendapat sokongan penduduk tempatan sepenuhnya. Perisikan Malaysia telah dapat memintas sepantasnya tindakan subversif ini dan berjaya dipatahkan. Juga beberapa siri pencerobohan di sempadan Kalimantan.

Bagi kita rakyat Malaysia biasanya akan melihat dan memantau sahaja tindakan tidak bertamadun aktivis BENDERA ini selagi ianya tidak betul-betul mencabar secara langsung sensiviti atau kedaulatan kita. Inilah peranan diplomasi dan dasar luar yang harus dimainkan sepenunhnya oleh kedua kerajaan serumpun ini. Tidaklah harus melemparkan minyak ke dalam api yang sedang membara. Kita juga tidak mengancam sehingga kini rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia seperti mereka. Di dalam kelas aku juga ada student dari Indonesia tetapi dia dilayan dengan baik. Tetapi tidak bagi student kita di sana. Student kita di sana bagi sesetengah wilayah tegang teruk diprovokasi secara keterlaluan (tidak dinyatakan dalam media). Pengalaman aku sendiri semasa berkunjung ke Indonesia telah didiskriminasi dari segi harga barangan oleh sesetengah peniaga di sana apabila mengetahui kita rakyat Malaysia. Kejadian berlaku di depan mata apabila peniaga tersebut menjual dengan harga yang berlainan kepada rakyat mereka sebelum aku cuba menawar dan di jawabnya "nak makan apa pak kalau kasi kurang". Panas ja telinga dengar..

Isu-isu sebegini akan reda sedikit masa lagi akibat tindak balas kemerosotan aktiviti pelancongan serta pelaburan di Indonesia. Juga tekanan daripada pelabur-pelabur Malaysia yang merupakan antara pelabur terbesar industri media di sana. Ia akan menjadi api dalam sekam yang menunggu masa untuk diledakkan kembali. Sekian dulu..Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia ke-53!